11 December 2011

Solat Berjemaah

Bahasa:  Jamaah atau jemaah berasal daripada perkataan Arab jama'a yang bermaksud menyatukan, mengumpulkan atau menggabungkan.Jamaah pula bermaksud kelompok, kumpulan, persatuan atau ikatan.

Syarak:  Pergantungan solat makmum kepada solat imam.

Hukum:  Pendapat yang lebih sahih menyatakan bahawa solat berjemaah adalah fardu kifayah.  Oleh itu, kewajipan ini tidak akan terlepas daripada penduduk sebuah kampung atau pekan atau taman perumahan atau pangsapuri melainkan sekiranya sebahagian anggotanya melakukannya.
  Jika di dalam komuniti tidak ada sesiapanpun melakukan solat berjemaah secara terang terangan di masjid atau surau, atau melakukannya di rumah, seluruh anggota komuniti tersebut menanggung dosa. 

Syarat-syarat Imam
  1. Hendaklah makmum tidak mengetahui batalnya solat imam.
  2. Imam bukan seorang ummi iaitu tidak dapat membaca al Quran dengan baiksedangkan makmum pula seorang qari yang boleh membaca al Quran mengikut tajwid yang sempurna.
  3. Imam bukan seorang wanita sekiranyanya makmumnya adalah lelaki walaupun hanya seorang lelaki bersama ramai makmum perempuan.  Tetapi harus seorang wanita menjadi imam jika makmumnya adalah wanita. Ini kerana Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "seorang perempuan jangan sesekali menjadi imam kepada seseorang lelaki." (riwayat Ibn Majah)
Syarat Sah Makmum Mengikut Imam
  1. Makmum berniat  mengikut imam yang tertentu.  Tidak sah seorang itu solat mengikut imam yang tidak diketahui kedudukannya.
  2. Mengikut imam dalam setiap perbuatan
  3. Makmum tidak boleh berada lebih hadapan daripada imam.
  4. Makmum lelaki tidak boleh mengikut imam perempuan.
  5. Jarak di antara imam dan makmum tidak boleh 150meter (300 hasta) sekiranya solat dilakukan di tanah lapang atau imam berada di dalam masjid dan makmum diluar.  Tetapi sekiranya imam dan makmum berada di dalam masjid tidak menjadi halangan jika makmum jauh daripada imam melebihi 150 meter.
  6. Makmum hendaklah boleh mengetahui pergerakan imam.
  7. Imam hendaklah seorang yang boleh membaca Al Quran.
  8. Jangan sampai imam yang diikuti itu melakukan solat yang boleh diulangi semula.
  9. Solat yang dikerjakan makmum sama jenisnya dengan solat imam.
  10. Imam yang didikuti hendaklah tidak mengikut orang lain atau tidak menjadi makmum kepada orang lain.
  11. Makmum tidak ketinggalan dua rukun perbuatan yang panjang daripada imam tanpa keuzuran.
  12. Makmum muafiq jangan ketinggalan tiga rukun perbuatan daripada imam jika ada keuzuran seperti seperti bacaan Al Fatihah makmum terlalu lambat dan tidak mampu membaca dengan cepat.

10 December 2011

Azan Dan Iqamah

Bahasa:  Azan ialah pembetitahuan atau pengumuman, atau seruan dan penisytiharan.

Istilah:  Suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu untuk menandakan masuknya waktu solat fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitauan tentang waktu solat.  Pengisytiharan ini dibuat untuk melaungkan lafaz-lafaz tertentu.


Hukum Azan
  • Fardu Kifayah:  Kepada jemaah lelaki yang hendak mendirikan solat lima waktu dan juga solat Jumaat.  Tetapi tidak dituntut melakukannya pada waktu solat-solat lain seperti solat hari raya, solat gerhana, solat terawih, solat jenazah dan lain-lain.
  • Sunat:  Bagi lelaki yang menunaikan solat fardu bersendirian sama ada secara tunai ataupun qada.
  • Makruh:  Bagi perempuan melaungkan azan sama ada ketika bersolat bersendirian atau dalam jemaah permpuan jika dibimbangi boleh menimbulkan fitnah.  Imam Syafi'i menghukumkan sunat perempuan yang hendak menunaikan solat agar iqamah sahaja.
  • Haram:  Bagi perempuan melaungkan azan sekiranya diyakini perbuatannya itu boleh menimbulkan fitnah yang besar terhadap dirinya.  
Syarat Azan
  • Masuk waktu 
  • Azan hendaklah disempurnakan oleh seorang
  • Azan tersebut hendaklah dilafazkan dalam bahasa Arab
  • Didengari
  • Tertib
  • Berturut-turut
  • Muslim
  • Berakal dan mumaiyiz
  • Lelaki
Mari kita sama-sama dengarkan azan...

 


Iqamat

Takrif

Berasal daripada kalimah Arab aqama iaitu berdiri dengan sebab perlakuannya yang menandaklan solat akan didirikan.

Dalil Pensyariatan

Merupakan ibadat yang dilakukan selepas azan yang dilaungkan untuk menandakan solat akan dimulakan.  Iqamat berbeza dengan azan dari segi jumlah laungan kalimah di dalamnya.  Imam al Bukhari menyatakan dalam Sahih al Bukhari yang bermaksud : 
"Daripada Malik bin Huwairith, daripada sabda Nabi SAW; Apabila telah datang solat (hendak didirikan), laksanakanlah azan dan iqamat.  Kemudian lantiklah mereka yang dewasa untuk menjadi imam kamu."

Syarat Sah Iqamat
  • Beragama Islam
  • Mumaiyiz
  • Lelaki
  • Tertib
  • Berturutan pada setiap lafaz
Lafaz Iqamat




08 December 2011

Abai Solat

Hukum
Hukum Solat

Seluruh Muslim bersepakat bahawa solat adalah satu kewajipan ke atas setiap orang Islam yang baligh, berakal dan suci.  Ia adalah ibadat badan yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain.  Kerana itu, tidak sah seseorang itu bersolat untuk orang lain.

Hukum Menafikan Kewajipan Solat

Ulama' juga sepakat (ijmak) menyatakan bahawa orang yang menafikan atau ingkar dengan kewajipan solat fardu ini, dia menjadi kafir.  Ini kerana, kefarduan solat telah disabitkan dengan dalil-dalil yang muktamat (qat'i) daripada al Quran, hadis dan ijmak.

Hukum Abai solat Kerana Malas
a)    Pendapat Pertama - Orang yang meninggalkan solat adalah kafir dan terkeluar daripada Islam.  Ia dihukum bunuh sekiranya tidak bertaubat.  Pendapat ini dipegang oleh Imam Ahmad bin Hanbal.

b)    Pendapat Kedua - Orang yang meninggalkan solat adalah fasiq, tetapi tidak kufur, menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafi'i.  Tetapi mereka berbeza pendapat dalam hukum kepada golongan ini.  Malik dan Al Syafi'i menyatakan ia dihukum hudud bunuh jika tidak bertaubat.  Sementara Abu Hanifah menyatakan ia hendaklah ditakzirkan, tidak dibunuh.


Seksa bagi orang yang meninggalkan solat

  1. 6 seksaan semasa hidup didunia 
  • Umurnya tidak berkat.
  • Akan dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada mukanya.
  • Tiap-tiap amal yang dikerjakan tiada diberikan pahala kepadanya.
  • Segala doanya tiada diperkenankan oleh Allah.
  • Tidak ada baginya bahagian daripada doa untuk orang-orang soleh.
    2.  3 seksaan ketika hendak mati
  • Mati dalam kehinaan.
  • Mati dalam keadaan yang sangat lapar.
  • Mati dalam keadaan dahaga yang amat, sehinggakan jika dituangkan ditekaknya semua air laut di dunia ini, dia tetap berasa dahaga.
    3.  3 seksaan di alam kubur
  • Kuburnya disempitkan.
  • Dinyalakan api, yang mana dia akan membalik-balikkan dirinya dalam bara api itu.
  • Allah mengarahkan ular yang besar dinamakan 'Shajkul Akrak" untuk menyeksa si mayat.  Ular itu akan berkata, "Sesungguhnya aku telah disuruh oleh Tuhanku untuk memukul engkau dari Subuh hingga Zohor, sebab engkau sia-siakan waktu Zuhur; dipukul pula hingga Asar, sebab engkau sia-siakan waktu asar..' Begitulah seterusnya setiap hari, siang dan malamsehingga hari kiamat.
    4.   3 seksaan di hari kiamat
  • Allah memerintahkan malaikat azab menghela orang yang tidak solat itu dalam neraka.
  • Allah menilik pada orang yang tidak solat itu dengan tilikan yang murka.
  • Allah akan mengira orang yang tidak solat itu dengan kiraan yang  terus disumbatkan ke dalam neraka, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud,"Apa yang membawa kamu ke neraka?" mereka menjawab, "Kami tidak solat."



Niat Solat Fardhu

06 December 2011

Waktu Solat

Waktu solat adalah peruntukan tempoh atau selang masa tertentu bagi masyarakat muslim menjalani syariat solat sama ada fardhu atau sunat.  Penyusunan waktu fardhu diajarkan sendiri oleh Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Waktu solat adalah piawai bagi masyarakat muslim seluruh dunia.  Terutama bagi solat fardhu, awktunya ditetapkan mengikut peredaran matahari dan bukan mengikut selang masa yang tetap.  Hal ini disebabkab faktor geografi, bentuk bumi, kecondongan paksi bumi dan peredaran bumi dalam orbitnya yang berbentuk elips.  Oleh itu waktu solat boleh berubah mengikut pertukaran musim disebabkan perbezaan kadar siang dan malam.

Waktu Solat Fardhu

Solat Zohor -  bermula dari gelincir matahari dari kedudukan tengah langit hingga bayang-bayang suatu benda menyamai panjangnya.  Secara umumnya, zohor bermula apabila bayang-bayang sudah cenderung ke arah barat.

Solat asar -  Bermula apabila sesuatu bayang objek melebihi kepanjangan sebenar sehingga matahari  mula terbenam.  Haram menta'khirkan atau melewatkan solat asar sehingga tinggal waktu yang tidak sempat untuk dikerjakan.

Solat Maghrib -  bermula apabila matahari terbenam (hilang bentuk bulatan) hingga hilang cahaya kemerahan di kaki langit.  Bagi kawasan atau negeri yang tidak hilang cahaya tersebut (kawasan seperti kutub), maka dikira kadar apanjang atau tempoh yang sama bagi kawasan atau negeri yang berhampiran yang mengalaminya.

Solat Isyak -  bermula apabila hilang cahaya merah di kaki langit hingga terbit fajar sidiq.  waktu isyak adalah waktu yang paling lama iaitu sepanjang malam.

Solat Subuh -  bermula dari naik fajar sidiq sehingga terbit matahari atau dikenalai sebagai Syuruk.


Waktu Solat Sunat

Tidak semua solat sunat mempunyai waktu tertentu melainkan beberapa solat sunat.  Waktu-waktunya adalah mengikut kelaziman waktu solat Nabi Muhammad s.a.w.  Antara solat sunat yang dilakukan mengikut waktu tertentu ialah :
  • Solat dhuha -  dilakukan ketika waktu matahari baru naik (mengikut sesetengah pendangan ulama' pada ketinggian segalah atau tujuh hasta).
  • Solat hari raya -  dilakukan di waktu pagi hari raya yang pertama bagi kedua-dua jenis hari raya dan lazimnya dilakukan pada waktu Dhuha iaitu matahari baru naik (mengikut pandangan sesetengah ulama' pada ketinggian segalah).
  • Solat terawih -  dilakukan pada waktu Isyak (lazimnya dilakukan selepas solat Isyak sebelum kemunculan waktu imsak).
  • Solat sunat gerhana -  dilakukan pada waktu gerhana (matahari dan bulan) berlaku.
  • Solat sunat rawatib -  dilakukan sebelum dan selepasardhu.  Tidak semua solat mempunyai kedua-dua solat sunat.
  • Solat sunat tahajjut -  dilakukan dic waktu tengah malam selepas waktu tidur.

Waktu Haram Solat Sunat
  • Waktu selepas solat subuh hingga terbit matahari
  • Waktu mula terbit matahari (syuruk) hingga matahari berada di kedudukan pada kadar segalah (hasta).
  • Waktu rambang (zawal, istiwa, rembah) atau tengahari (matahari tegak) hingga gelincir matahari kecuali hari jumaat.
  • Waktu selepas solat asar hingga matahari kekuningan.
  • Waktu matahari kekuningan hingga matahari terbenam.


Rukun Solat

Takrif Rukun


Bahasa:  Tiang, kayu penyokong, unsur utama atau bahagian asas.


Istilah:  Rukun solat adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika solat dalam bentuk amalan hati, pertuturan atau perbuatan yang khusus dan tidak sah solat seorang itu jika salah satu daripada rukun-rukunnya diabaikan.


Rukun Solat


Ulama berbeza pendapat dalam menentukan jumlah rukun solat.  Tetapi mazhab Syafi'i menetapkan rukun atau fardhu solat ada tiga belas.


  1. Niat 
  2. Berdiri betul bagi yang mamapu
  3. Takbiratulihram
  4. Membaca surah Al Fatihah
  5. Rukuk 
  6. Iktidal
  7. Sujud dua kali dalam setiap rakaat
  8. Duduk di antara dua sujud
  9. Duduk tahiyat akhir
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Selawat ke atas nabi pada tahiyat akhir
  12. Salam yang pertama
  13. Tertib - mengikut urutandalam mengerjakan rukun-rukun tersebut.

Kategori Rukun

Rukun solat terbahagi kepada tiga.
  • Rukun Qalbi - berasal daripada perkataan qalb bermaksud  hati, adalah rukun berasaskan hati.
  • Rukun fi'li - berasal daripada perkataan fi'l bermaksud perlakuan, adalah rukun yang berasaskan perbuatan anggota badan.  Pergerakan anggota badan atau tindakan tubuh itu memerihalkan rukun tersebut.
  • Rukun qauli - berasal daripada perkataan qaul bermaksud kata-kata, adalah rukun berasaskan kepada sebutan bacaan dan bacaan.
Rukun Qalbi -  Niat

Rukun Fi'li -  Berdiri, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, duduk tahiyat akhir dan tertib.

Rukun Qauli -  Takbiratulihram, membaca al Fatihah, membaca tahiyat akhir, selawat ke atas nabi dan salam pertama.



Makruh Ketika Solat

Bahasa:  Makruh berasal daripada perkataan Arab (Karahah) yang diambil daripada kata dasar (kariha), bermaksud benci.  Oleh itu makruh bermakna sesuatu yang dibenci.

Istilah:  Perkara yang dilakukan dalam solat tidak membatalkan solat tetapi ia tidak disukai.  meninggalkan perbuatan-perbuatan ini adalah digalakkan dan mendapat pahala.

Perkara-perkara makruh dalam solat
  1. Memalingkan muka ketika solat, melainkan kerana keperluan.
  2. Memandang ke langit.
  3. Meletakakn kedua-dua lengan di atas lantai ketika sujud.
  4. Memandang ke arah sesuatu yang melalaikan daripada solat.
  5. Bercekak pinggang atau berpeluk tubuh.
  6. Solat ketika makanan dihidangkan.
  7. Solat dalam keadaan menahan air kecil dan air besar.
  8. Solat dalam keadaan terlalu mengantuk.
  9. Meludah kehadapan atau ke sebelah kanan.
  10. Menguap ketika solat.
  11. Rukuk sebelum sampai saf.
  12. Memakan makanan yang mengeluarkan bau busuk sebelum solat.
  13. Bermain-main dengan jari dan membunyikannya (mematahkannya).
  14. Mengkhususkan tempat di dalam masjid untuk menunaikan solat.